fb fb fb fb fb

Sektor agrikomoditi: Pemain industri diminta utamakan pekerja mahir tempatan

Foto Fail

PUTRAJAYA, 24 Februari- Pemain industri digesa mengutamakan pengambilan pekerja mahir tempatan, dengan gaji yang kompetitif dalam sektor agrikomoditi.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu dapat mengurangkan kebergantungan tinggi terhadap buruh asing, serta mendorong transformasi dalam sektor berkenaan.

"Sekiranya kita berdepan dengan pandemik COVID-19 sebelum ini, RM20 hingga RM30 bilion hasil agrikomoditi tidak dapat dituai kerana kekurangan tenaga kerja, disebabkan pekerja asing tidak dapat datang ke sini.

"Jadi, kita perlu melihat penyelesaian jangka panjang.

"Sebab itu, jika kita perhatikan negara maju, dalam sektor komoditi mereka sangat efisien dan tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing.

"Sudah tentu mereka masih menggunakan tenaga kerja asing, tetapi ia dihadkan secara ketat kepada sektor 3D iaitu Dirty (kotor), Difficult (sukar) and Dangerous (bahaya)," katanya pada majlis Konvokesyen Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) ke-9 di sini hari ini.

Sementara itu, pihaknya bercadang untuk mewajibkan kuota tenaga kerja untuk warga tempatan, sebelum memberi kelulusan pengambilan pekerja asing kepada syarikat perladangan.

IMPAC katanya, memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir sektor agrikomoditi dengan menawarkan pelbagai kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM