fb fb fb fb fb

Sekolah padat pelajar akan disusun semula - Fadhlina

Fadhlina Sidek

JENJAROM, 11 Mac- Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalankan penyusunan semula sekolah yang mempunyai kepadatan pelajar yang tinggi bagi memastikan suasana pembelajaran lebih kondusif.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penyusunan tersebut akan dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) agar wujud keselesaan dalam kalangan pelajar.

“Saya rasa semua sekolah ada peningkatan dan memang ada sekolah terima peningkatan lebih sedikit dan kita memang ada sekolah itu.

“Enrolmen Darjah Satu memang tinggi dan ini menunjukkan komitmen kita memastikan anak kita berada di sekolah ini tercapai.

"Cuma, kita kena adjust (melaraskan) kepadatan itu dan barangkali susun kembali. Itu tugas PPD dan JPN memastikan tiada kesesakan keterlaluan di sekolah,” katanya pada sidang akhbar ketika melawat pembukaan sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Putra, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, KPM komited meningkatkan akses pendidikan kepada seluruh rakyat di negara ini.

KPM memaklumkan terdapat seramai lebih lima juta daripada pra sekolah hingga Tingkatan Lima yang bersekolah pada tahun ini.

“Enrolmen bagi Tahun Satu adalah seramai 466,799 dan Tingkatan Satu pula melibatkan 478,594 orang.

“Selangor menjadi negeri mempunyai paling tinggi enrolmen iaitu 927,528 orang daripada pra sekolah hingga Tingkatan 5. Bagi Tahun Satu, mencatatkan 97,000 murid dan tingkatan pula seramai 91,000.

“Wilayah Persekutuan Labuan menjadi negeri paling sedikit jumlahnya bagi Tahun Satu iaitu 1,700 orang dan 1,600 bagi kemasukan pelajar Tingkatan Satu,” katanya.

SITI AISHAH MD ISA