
NIBONG TEBAL, 8 Februari – Pihak pentadbiran sekolah diberi autonomi menentukan pemakaian serta aktiviti pelajar ketika cuaca panas, khususnya di wilayah utara ketika ini.
- Pentadbiran sekolah diberi autonomi menentukan pemakaian dan aktiviti pelajar semasa cuaca panas mengikut garis panduan.
- Garis panduan membenarkan penyesuaian pakaian sukan dan aktiviti luar berdasarkan tahap cuaca semasa.
- Keputusan menilai dan melaksanakan penyesuaian dibuat oleh pihak sekolah berdasarkan nasihat MetMalaysia dan Kementerian Kesihatan.
- Menteri menegaskan semua pihak perlu merujuk dan mematuhi nasihat Jabatan Meteorologi dan Kementerian Kesihatan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan telah menetapkan garis panduan merangkumi aspek pemakaian dan pelaksanaan aktiviti fizikal pelajar.
Menurutnya, garis panduan itu membenarkan penyesuaian pakaian sukan dan aktiviti luar berdasarkan tahap cuaca semasa.
“Dengan garis panduan serta nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia dan Kementerian Kesihatan, keadaan ini boleh diurus dengan baik. Tiada isu kerana panduan itu membenarkan penyesuaian dari segi pakaian dan aktiviti ketika cuaca panas.
“Pihak pentadbiran mempunyai autonomi untuk menilai situasi dari semasa ke semasa berdasarkan garis panduan yang ditetapkan. Saya minta semua pihak merujuk dan mematuhi nasihat MetMalaysia serta Kementerian Kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Semarak Sejahtera Warga Emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sungai Acheh, Nibong Tebal.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.