YANGON, 14 Mac - Kira-kira sejuta penduduk Myanmar bakal kehilangan bantuan makanan daripada Program Makanan Sedunia (WFP) mulai April ini akibat kekurangan dana yang semakin kritikal.
Situasi ini berlaku ketika negara itu terus berdepan konflik berpanjangan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, menyebabkan ekonomi lumpuh dan rakyat semakin terhimpit dengan kemiskinan.
Menurut WFP, lebih 15 juta orang kini tidak mampu mendapatkan makanan yang mencukupi, dengan lebih dua juta daripadanya berada pada tahap kebuluran yang serius.
"Keadaan di seluruh negara semakin merosot. Masyarakat antarabangsa tidak boleh melupakan rakyat Myanmar dalam waktu sukar ini," kata Pengarah WFP Myanmar, Michael Dunford.
Antara yang paling terkesan ialah 100,000 pelarian di negeri Rakhine, yang bergantung sepenuhnya kepada bantuan WFP.
Jika tiada dana tambahan segera, mereka akan kehilangan akses kepada makanan yang amat diperlukan.
Pemotongan berlaku menjelang musim sukar dari Julai hingga September, iaitu tempoh di antara musim menanam dan menuai padi serta tanaman lain, yang lazimnya menyaksikan peningkatan kadar kebuluran.
Amerika Syarikat sebelum ini merupakan penyumbang terbesar kepada WFP, menyumbang AS$4.4 bilion daripada keseluruhan bajet AS$9.7 bilion pada 2024.
Namun, di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, peruntukan bantuan luar negara telah dikurangkan secara drastik, sekali gus menjejaskan operasi kemanusiaan di Myanmar dan negara lain.
WFP kini merayu dana tambahan sebanyak AS$60 juta bagi meneruskan bantuan makanan kepada rakyat Myanmar yang amat memerlukannya. - AFP