PUTRAJAYA, 22 April- Kementerian Komunikasi sedang meneliti perancangan mewujudkan satu pusat maklumat menerusi pembangunan aplikasi atau laman web.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ia sekali gus memperkasa peranan segmen 'Biar Betul' terbitan RTM yang bertujuan mempermudah carian maklumat mengenai berita palsu.
Jelas Fahmi, inisiatif itu turut mengambil kira mengenai kebimbangan mengenai jenayah penipuan dan berita berunsur fitnah yang semakin meningkat.
"Kita tahu bawah MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan juga Bernama, kita ada beberapa unit di MCMC dinamakan SEBENARNYA.MY, di Bernama namakan MyCheck.My.
"Kedua-dua unit ini antara lain tugas mereka untuk mengesahkan bahan yang didapati sama ada bahan fitnah ataupun mengandungi kandungan tidak betul.
"Jadi saya lihat kita perlu gembleng usaha dan kemampuan 'Biar Betul', SEBENARNYA.MY, MyCheck.My dan beberapa program lain untuk pastikan memudahkan rakyat yang ingin buat pencarian untuk mengesahkan sebarang maklumat yang mereka lihat atau tonton.
"Jadi itu kita ke arah 'streamlining' semua kemampuan ini," katanya kepada pemberita menerusi sidang media selepas melancarkan Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2024 di sini.
Menerusi pelaksanan aplikasi atau web itu, seramai lebih 1,800 Komuniti MADANI akan dimanfaatkan sebagai agen 'Biar Betul' di seluruh negara.