(Wan Noor Hayati, 44, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Serdang petang semalam)
KUALA LUMPUR, 11 Julai - Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil meminta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyegerakan sumbangan kepada keluarga bekas wartawan dan pemenang Anugerah Kajai, Wan Noor Hayati Wan Alias, menerusi Tabung Kasih@HAWANA 2023.
Menzahirkan perasaan pilu atas pemergian Allahyarham Wan Noor Hayati atau lebih dikenali sebagai Wanti yang meninggal dunia petang tadi, Fahmi berkata ini kerana isu kebajikan dalam kalangan pengamal media merupakan keutamaannya.
“Sebelum ini dalam Mesyuarat Pasca Kabinet minggu lalu, saya telah meminta Bernama segera berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk memastikan dana RM1 juta diumumkan Perdana Menteri pada Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Mei lalu, dapat disediakan bagi tabung kebajikan Bernama.
“Malah supaya ia dapat segera dimanfaatkan terutama bagi semua yang memerlukan dalam kalangan pengamal media,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.
Terdahulu, Wan Noor Hayati, 44, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Serdang di sini pada kira-kira 6.10 petang Isnin, akibat kegagalan jantung setelah bergelut dengan penyakit radang paru-paru.
Selain pernah berkhidmat dengan Utusan Malaysia, Allahyarham merupakan bekas wartawan Berita Harian dan Media Variasi, serta pernah memenangi Anugerah Kajai iaitu anugerah tertinggi dalam bidang kewartawanan negara yang diberikan oleh Malaysian Press Institute (MPI) pada 2013.
Allahyarham merupakan ibu tunggal dan meninggalkan seorang anak lelaki berumur sembilan tahun.
Pada Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan permulaan RM1 juta untuk Tabung Kasih@HAWANA, yang diwujudkan sempena HAWANA 2023 bagi menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.
Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital dan dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup. - BERNAMA