PENGKALAN HULU, 16 Mac - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah bersedia untuk sekolah berasrama penuh (SBP) menerima 70 peratus daripada pelajarnya memilih aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada tahun hadapan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata cadangan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan perkara itu baru-baru ini adalah selari dengan dasar yang sedang dilaksanakan KPM.
"Memang keutamaan di SBP ini adalah aliran STEM yang sedang kita naik taraf ataupun perbaiki, dan juga memberikan tumpuan kepada STEM A (Sains Tulen) dan B (Sains Teknologi) selepas ini kerana pilihan sains tulen itu memberikan kesan langsung kepada keseluruhan (pemilihan aliran STEM).
"Jadi, secara keseluruhan kita telah pun bersedia, SBP bagi saya tidak ada masalah kerana memang keutamaan mereka adalah STEM, tetapi kita akan bagi tumpuan lebih sedikit kepada STEM A, Sains Tulen," katanya kepada pemberita pada Program Santuni MADANI Menteri Pendidikan di Kampung Kuak Hulu di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anwar pada 12 Mac lepas yang mencadangkan supaya 70 peratus pelajar di SBP memilih aliran STEM bermula pada tahun hadapan bagi memperkukuh penguasaan dalam bidang berkenaan.
Sementara itu, Fadhlina berkata KPM turut meningkatkan kerjasama rentas kementerian dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memperkasakan pembudayaan STEM di semua jenis sekolah dan setiap peringkat.
"Secara keseluruhannya SBP, Sekolah Menengah Sains memang menjadi tumpuan kita dan dari segi pelaksanaan itu sebenarnya sudah mencapai lebih 98 peratus di peringkat SBP. Ada dua peratus sahaja aliran sains sosial, yang lain itu memang semua Sains cuma kita sekarang nak streaming semula supaya ia (SBP) dapat beri tumpuan kepada STEM A, Sains Tulen," katanya. - BERNAMA