SATU tingkat persiapan pastikan bekalan air stabil menjelang Aidilfitri

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Abdul Karim Endut / FOTO BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 12 Mac – Persiapan bagi memastikan bekalan air kekal stabil menjelang Hari Raya Aidilfitri dipertingkat susulan kemungkinan peningkatan penggunaan serta gangguan bekalan di beberapa kawasan.

RINGKASAN BERITA AI
  • CEO SATU, Abdul Karim Endut, berkata pelbagai langkah dilaksanakan termasuk menaik taraf sistem paip dan menggantikan aset lama.
  • Kerja penambahbaikan dilaksanakan sejak 2025 melibatkan 11 kawasan kampung untuk naik taraf sistem agihan ke kediaman pengguna.
  • Satu projek di Kuala Terengganu dan Marang siap sepenuhnya dengan kos sekitar RM10 juta.
  • Langkah ini diharap memastikan bekalan air kekal stabil terutama semasa musim perayaan dengan peningkatan penggunaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Abdul Karim Endut, berkata pelbagai langkah telah dilaksanakan termasuk menaik taraf sistem paip serta menggantikan aset lama bagi memperkukuh sistem agihan air.

Menurut beliau, kerja penambahbaikan itu telah dilaksanakan sejak tahun 2025 melibatkan 11 kawasan kampung yang dinaik taraf sistem agihan bekalan air ke kediaman pengguna.

“Ada satu projek yang kita laksanakan di daerah Kuala Terengganu dan Marang dengan kos sekitar RM10 juta dan ia telah siap sepenuhnya.

“Bagi projek lain pula, kita menggunakan peruntukan dalaman untuk melaksanakan penggantian paip serta menaik taraf sistem paip sedia ada,” katanya selepas merasmikan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim, Media dan Pengguna Besar di Permai Hotel, di sini.

Tambah beliau, langkah penambahbaikan itu diharap dapat memastikan bekalan air kekal stabil, khususnya ketika musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan penggunaan dalam kalangan pengguna.