SERIAN, 1 Februari- Kerajaan Negeri Sarawak terus memantau keadaan banjir di seluruh negeri serta melihat kepada keperluan yang diperlukan untuk meringankan beban rakyat yang terjejas akibat bencana tersebut.
Menurut Timbalan Premier merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Douglas Uggah Embas, kesemua PPS terlibat sedang beroperasi dengan lancar dengan kelengkapan asas yang mencukupi.
Manakala JPBN Sarawak juga akan terus memastikan bekalan makanan dihantar ke kawasan-kawasan yang terputus hubungan akibat banjir.
Tambahnya, selain daripada arahan agar Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak membaiki kerosakan jalan raya atau tanah runtuh dengan kadar segera, JPBN Sarawak juga dijangka akan menerima data berkenaan dengan anggaran jumlah kerosakan kemudahan awam mahupun harta benda peribadi di setiap bahagian yang terjejas, seawal esok.
"Kita sedia maklum bahawa Kerajaan Persekutuan telahpun menyediakan peruntukan, malah Premier Sarawak juga telah menambah peruntukan sejumlah RM10 juta dalam menjangkakan kemungkinan banjir, bagi meringankan rakyat yang terjejas.
"Kita belum mendapat sebarang data berkenaan jumlah kerosakan, namun kita berharap lebih cepat kita peroleh data tersebut, lebih baik," katanya.
Beliau memberitahu pemberita ketika melawat PPS Dewan Ranchan di Serian hari ini.
PPS Dewan Ranchan yang beroperasi sejak 29 Januari 2025 itu menempatkan seramai 220 penduduk terjejas banjir daripada 59 buah keluarga dari Kampung Ranchan, Kampung Munggu Limo, Kampung Hilir Serian, Kampung Slabi Empurung dan Kampung Slabi Plaman.