fb fb fb fb fb

Sarawak sasar penurunan kadar pembalakan kepada 2 juta meter padu setahun, bukti pengurusan hutan mampan

Datuk Awang Tengah berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penghargaan Pesaraan Jabatan Hutan Sarawak

KUCHING, 27 Jun- Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Hutan Sarawak komited untuk menurunkan kadar pembalakan kepada kira-kira 2 juta meter padu setahun dengan mematuhi keperluan pensijilan pengurusan hutan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Awang Tengah Ali Hassan berkata ia penting bagi membuktikan pengurusan hutan yang dilaksanakan di negeri itu adalah memenuhi piawaian antarabangsa sekali gus membolehkan produk kayu yang dihasilkan dapat dipasarkan secara kompetitif di pasaran global.

Jelasnya , setakat ini terdapat 26 Unit Pengurusan Hutan dan tujuh Unit Pengurusan Ladang Hutan yang telah dipersijilkan merangkumi keluasan 2.38 juta hektar dan meliputi kawasan seluas 97,966 hektar.

Ini menunjukkan usaha berterusan Jabatan Hutan Sarawak dalam pengurusan hutan yang lestari.

Beliau berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penghargaan Pesaraan Jabatan Hutan Sarawak di Kuching.

Dalam perkembangan yang sama Datuk Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar II berkata kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan daripada sumber hutan melalui metodologi yang lebih mampan.

Justeru beliau menyeru semua pihak berkaitan untuk bekerjasama menjayakan agenda pembangunan mampan dan menyokong sasaran pengurangan 45 peratus pelepasan gas rumah hijau menjelang tahun 2030 seperti yang termaktub dalam Perjanjian Paris 2015.

Sementara itu pada majlis berkenaan seramai 78 kakitangan Jabatan Hutan Sarawak menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang bagi tahun 2023.

Turut diraikan 34 pesara jabatan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE