fb fb fb fb fb

Sarawak perlu RM100 juta lagi untuk penganjuran SUKMA

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mempengerusikan sidang media selepas penggulungan bagi kementeriannya di DUN Sarawak

KUCHING, 14 Mei- Penganjuran Temasya Sukan Malaysia, SUKMA Sarawak memerlukan dana sekurang-kurangnya berjumlah RM100 juta lagi daripada kerajaan persekutuan.

Menteri Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia bagi menyokong penganjuran temasya itu, Ogos depan.

Apalagi, penganjuran temasya tidak hanya fokus di satu bahagian sahaja, malah meluas ke seluruh negeri.

"Kami telah membelanjakan hampir RM300 juta setakat ini, penganjuran temasya sukan sebesar ini memerlukan belanja besar.

"Permohonan telah disampaikan, kini kami hanya menunggu kelulusan Putrajaya,"katanya.

Abdul Karim berkata, perbelanjaan bagi penganjuran SUKMA kali ini termasuk membina fasiliti sukan baharu dan menaik taraf fasiliti sedia ada selain bayaran bagi vendor dan petugas-petugas sukan.

Beliau menjelaskan perkara itu kepada media selepas membuat penggulungan bagi kementeriannya di DUN Sarawak hari ini.

Sementara itu, kerajaan negeri turut membuat ketetapan untuk memulihara semua fasiliti sukan selepas SUKMA berakhir bagi memastikan ia dapat dimanfaat bersama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE