fb fb fb fb fb

Sarawak patut dijadikan contoh dalam menangani isu berkaitan dadah

SAC Mat Zani (kiri) bersama-sama Datuk Seri Fatimah pada satu sidang media di Kuching / FOTO RTM

KUCHING, 18 September- Sarawak perlu dijadikan contoh kepada negeri lain dalam menangani isu berkaitan dadah dengan komprehensif melalui One Stop Committee, OSC bagi Menangani Isu Dadah dan Substans, MIDS Negeri, bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti.

Timbalan Pengarah Narkotik (Bahagian Penguatkuasaan, Pencegahan dan Kepolisan Am - PPKA) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman SAC Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali memberitahu ia merupakan platform yang terbaik bagi sesebuah negeri bagi mengawal isu-isu berkaitan dadah dengan penglibatan pelbagai agensi.

Katanya, dengan adanya pembentukan komuniti sedemikian, libat urus bagi kesemua agensi antaranya Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kebajikan dapat diselaraskan mengikut keperluan isu-isu yang berbangkit.

Beliau memberitahu demikian selepas membuat kunjungan hormat terhadap Menteri KPWK, Dato Sri Fatimah Abdullah di Kuching hari ini.

Beliau memaklumkan, hasil daripada penubuhan jawatankuasa tersebut, isu berkaitan dadah sama ada penggunaan mahupun pengedaran berada di Sarawak berada dalam keadaan terkawal.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, Jabatan Narkotik PDRM akan menganjurkan satu forum berkaitan trend semasa dadah di Sarawak pada Oktober depan.

Objektif forum tersebut meliputi perkara berkaitan termasuk halatuju dan pemerkasaan Jabatan Narkotik dengan bantuan KPWK secara menyeluruh.

Dalam perkembangan sama, peningkatan kadar 'help-seeking' dalam kalangan individu terjebak bahan terlarang di negeri tersebut adalah satu impak positif hasil usaha kolektif ahli-ahli OSC bagi Menangani Isu Dadah dan Substans, MIDS Sarawak.

Datuk Seri Fatimah Abdullah memberitahu, nisbah kepada mereka yang tidak menjalani rawatan dan pemulihan di Sarawak adalah 1:5.

Katanya,nisbah tersebut adalah satu peningkatan yang positif berbanding dengan index purata antarabangsa yang dikeluarkan oleh United Nations Office for Drugs and Crimes, iaitu pada nisbah 1:6 bagi tahun 2022.

Beliau berkongsi perkara tersebut dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Siasatan jenayah Narkotik Bukit Aman di Kuching hari ini.

 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE