fb fb fb fb fb

Sarawak optimis 26,000 murid cemerlang UPDLP

Program Linguisthon (Linguistic Marathon) 2025, Peringkat Negeri Sarawak, anjuran SK Ulu Lubai, di Dewan Bunga Raya Limbang

LIMBANG, 7 Oktober - Sarawak optimis kira-kira 26,000 murid Tahun Enam dan Tingkatan Tiga di negeri ini yang bakal menduduki Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak, (UPDLP Sarawak), bakal memperolehi keputusan cemerlang pada ujian yang akan diadakan pada 15 dan 16 Oktober ini.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn melahirkan keyakinan untuk mencapai sasaran itu berikutan persediaan yang dilakukan Sarawak untuk program itu sejak enam tahun lalu.

Beliau berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja menjadi penanda aras baharu kepada keberkesanan pelaksanaan DLP di Sarawak, malah mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan mutu pendidikan terus ditingkatkan mengikut piawaian antarabangsa yang diiktiraf.

“Kita berharap mencapai 100 peratus, tetapi memandangkan kita telah melaksanakan Program DLP di Sarawak selama enam tahun, bermula dari murid Tahun 1 dahulu.

"Saya yakin dengan program yang sentiasa kita jalankan, bukan sahaja untuk pelajar tetapi juga untuk guru selama ini, sudah tentu kita akan memperoleh keputusan yang baik nanti,” ujarnya.

Beliau ditemui media pada Program Linguisthon (Linguistic Marathon) 2025, Peringkat Negeri Sarawak, anjuran Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai, di Dewan Bunga Raya Limbang.

Sagah berkata, UPDLP Sarawak adalah ujian piawaian bagi murid Tahun Enam dan pelajar Tingkatan Tiga, yang terbabit dalam program berkenaan.

Katanya, penilaian murid untuk subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris serta kertas peperiksaan dibuat oleh guru pakar tempatan serta disahkan oleh Cambridge University Press and Assessment (CUPA).

Seramai 200 orang murid di daerah itu menyertai program itu sebagai persediaan perlaksanaan UPDLP Sarawak, pada pertengahan bulan Oktober ini.

ROSLINA BINTI DIN