
KUALA LUMPUR, 16 Januari – Golongan muda di ibu negara meluahkan rasa syukur kerana menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Bulanan yang mula dikreditkan hari ini.
- SARA Bulanan bantu belia bujang berbelanja sementara menunggu gaji, meringankan kos harian.
- Penerima gunakan bantuan untuk barangan asas dapur dan keperluan harian seperti beras, minyak, telur.
- Skim melibatkan 3.1 juta bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah, bayaran RM50 hingga RM100.
Bantuan itu disifatkan sebagai ‘jangka hayat’ untuk berbelanja sementara menunggu hari gaji pada hujung bulan.
Tinjauan RTM di sekitar ibu negara mendapati penerima menggunakan bantuan tersebut bagi membeli barang keperluan asas harian di pasar raya.
Seorang penerima, Muharam Shah berkata, bantuan itu digunakan untuk membeli makanan dalam tin sebagai persediaan menjelang bulan Ramadan.
Bagi Mohamad Nabil Saffuan, bantuan tersebut dimanfaatkan untuk membeli barangan asas seperti tepung, telur, minyak masak dan beras bagi kegunaan keluarganya.
“Saya tinggal bersama ibu bapa dan adik-beradik. Bantuan ini sangat membantu dalam membeli barang makanan dan keperluan harian,” katanya.
Menurut Nurul Iman pula, walaupun nilainya tidak besar, bantuan tersebut memberi kesan kepada perbelanjaan bulanan.
“Walaupun RM100, ia tetap membawa perbezaan. Kalau seminggu belanja RM300, sebahagiannya boleh ditampung dengan SARA. Terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin kepada semua golongan,” katanya.
Sementara itu, Nur Rasyidah menggunakan bantuan tersebut untuk membeli barangan dapur dan mandian seperti minyak masak, mi segera dan syampu.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membantu rakyat, khususnya golongan yang memerlukan,” katanya.
Bagi Muhammad Danial pula, bantuan itu sangat membantu terutama ketika menunggu gaji pada pertengahan atau hujung bulan.
“Jika boleh, saya harap jumlahnya dapat ditambah lagi,” katanya.
Kerajaan mengumumkan seramai 3.1 juta individu bujang berusia antara 21 hingga 59 tahun layak menerima SARA Bulanan iaitu RM50 hingga RM100 berdasarkan dua kategori.
Bantuan membabitkan pendapatan sebulan RM2,500 dan ke bawah.
Sementara itu Bantuan SARA RM100 secara sekali beri kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas akan disalurkan pada 9 Februari nanti.