
SUBANG JAYA, 10 Januari – Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di bawah Kerajaan MADANI membawa kelegaan kepada penerima yang terkesan dengan kos sara hidup.
- SARA memberi kelegaan kepada penerima terjejas kos sara hidup melalui bantuan tunai RM100 setiap bulan.
- Penerima menghargai inisiatif Kerajaan MADANI dan menggunakannya untuk keperluan dapur dan perniagaan kecil.
- Cadangan agar nilai bantuan ditambah dan pilihan barangan keperluan diperluaskan.
- Proses pengagihan berjalan lancar dengan kaunter khas untuk warga emas, OKU dan wanita mengandung.
Di sebalik rasa syukur, mereka turut berharap nilai bantuan dan pilihan barangan keperluan dapat diperluaskan.
Tinjauan RTM di Pasar Raya Besar Mydin, Subang Jaya mendapati proses pembayaran Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjalan lancar dengan kaunter dilengkapi mesin pengimbas MyKad.
Kaunter khas turut disediakan bagi warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan wanita mengandung.
Penerima SARA mengambil peluang berbelanja sebaik bantuan mula disalurkan semalam, sambil menyatakan rasa syukur atas inisiatif Kerajaan MADANI.
Penerima SARA, Mohd Fairoz Shahron, menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan atas inisiatif tersebut.
“Bantuan ini dapat menampung perbelanjaan keluarga saya, terutamanya dengan lima anak yang masih bersekolah. Sekurang-kurangnya ia membantu mengurangkan beban,” katanya.
Penerima, Rustina Abd Rahman, turut menyambut baik bantuan tersebut dan berharap program itu diteruskan pada masa hadapan.
Bagi Nurfadilah Hussin, bantuan tersebut dimanfaatkan untuk keperluan perniagaan kecilnya.
“Saya berniaga kuih-muih dan akan membeli tepung dan barangan asas yang disyorkan kerajaan setiap kali menerima bantuan,” katanya.
Sementara itu, penerima lain, Ramesh Shanmugam, berpendapat nilai bantuan wajar ditambah dan turut mencadangkan pilihan barangan diperluas.
“Bantuan SARA ini bagus, tetapi kalau ditambah lagi RM100 akan lebih baik. RM100 sekarang tidak mencukupi untuk keluarga,” katanya.
Selain itu, bantuan ini dilihat sangat membantu bagi Chaw Kam Sin, yang tidak bekerja.
“Saya menerima RM100 dan membeli minyak, serbuk pencuci, telur dan pelbagai lagi barangan. Walaupun sedikit, ia membantu kami setiap bulan,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada kerajaan.
Dalam pada itu, Rokiah Harun berkata bantuan tersebut mengurangkan perbelanjaan dapur.
“Alhamdulillah, dapat membantu meringankan keperluan dapur. Jika lebih banyak barangan dapur seperti bawang dan cili boleh dimasukkan, itu lebih baik untuk keperluan harian,” ujarnya.