PULAU GADONG, 13 Jun- Sampel klinikal pesakit yang dijangkiti wabak kencing tikus (leptospirosis) di Melaka telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kesihatan (MKAK) Sungai Buloh dan masih menunggu saringan terakhir.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, pihaknya juga melakukan ujian klinikal di kolam rekreasi lain di negeri itu bagi mengesan sebarang jangkitan berkenaan.
Setakat ini lima individu didapati positif wabak itu sementara yang lain masih menunggu saringan lanjut.
"Setakat ni kita ada satu kolam rekreasi panas yang belum operasi lagi yang ada kita akan sentiasa ambil dia punya sampel lah.
"Kita pun sudah nasihat dia pada pengusaha tu dia kena ada sampai satu tahap masa dia kena lepas air lepas tu masuk air yang baru," katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu, seramai 33 individu termasuk pelajar dan guru sebuah sekolah di Melaka disyaki dijangkiti kencing tikus selepas mengunjungi Kolam Air Panas Jasin, sejak minggu lalu.
Kolam berkenaan diarah tutup selama 14 hari bermula 8 Jun lalu dan pengusaha pusat rekreasi berkenaan diarah melaksana kerja-kerja pembersihan.
Pengusaha juga diminta untuk menukar air kolam secara kerap dan berjadual, menjaga kebersihan dan memastikan tiada penyakit lain.