fb fb fb fb fb

Saman tertunggak: JPJ Perlis tahan lapan pemandu van Thailand

Foto: JPJ Perlis

KANGAR, 14 Oktober- Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menahan lapan pemandu van Thailand yang mempunyai tunggakan saman di negara ini berjumlah RM17,950.

Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata tindakan ini diambil menerusi Ops Pemandu Warga Asing dari Thailand di beberapa lokasi khususnya di Kompleks ICQS Padang Besar dan Wang Kelian.

"Berdasarkan semakan dan rekod pemandu-pemandu van Thailand ini mempunyai saman tertunggak berkaitan kesalahan Gagal Mematuhi Syarat Permit Peredaran Antarabangsa ( ICP), Kesalahan Teknikal berkaitan Cermin Gelap dan Kesalahan Pelesenan Pemandu.

"Sehubungan itu, semua pemandu van tersebut dikehendaki menjelaskan bayaran kompaun bagi pelbagai kesalahan lalu lintas yang telah dikenakan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Fatimah, kompaun saman tertunggak sebanyak RM12, 950 telah dijelaskan oleh tujuh orang pemandu van Thailand tersebut manakala seorang lagi pemandu van yang gagal menjelaskan bayaran kompaun saman tertunggak sebanyak RM5,000 telah ditahan.

Ujarnya, kenderaan mereka turut di sita sehingga pemandu atau pemilik kenderaan tersebut menjelaskan bayaran kompaun saman.

Beliau berkata penguatkuasaan undang-undang ke atas pemandu warga asing akan dipertingkatkan bagi memastikan semua pemandu asing yang datang ke negara ini mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas yang dikuatkuasakan dari semasa ke semasa.

ZEHRA BINTI ZAMBRI