KUALA LUMPUR, 27 November – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022 dengan nilai ambang RM1,198 sebagai rujukan untuk penyaluran bantuan kepada golongan miskin tegar sejak Januari tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diberikan berdasarkan kelayakan dan keperluan individu.
“Namun, PGK bukan satu-satunya ukuran dalam mempertimbangkan permohonan kebajikan. Pelbagai faktor lain turut diambil kira bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang layak,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dalam sidang Dewan Rakyat, di sini.
Antara faktor tersebut adalah sokongan sosial keluarga, tanggungan ahli keluarga, masalah kesihatan kronik, penjagaan rapi untuk golongan OKU, aspek psikososial dan lain-lain keperluan.
Tambah Nancy, semakan semula dan pengemaskinian PGK 2022 dijalankan secara bersama oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di bawah Kementerian Ekonomi.