(Salam Baitullah bersiaran di TV1 serta Saluran Berita, 123 My Freeview dan boleh ditonton
menerusi laman rtmklik.rtm.gov.my serta Facebook Live)
KUALA LUMPUR, 23 Jun- Program 'Salam Baitullah' edisi ke-14 terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) kembali menemui penonton sepanjang musim haji tahun ini mengandungi liputan dan maklumat terkini keadaan di Tanah Suci .
Program 16 episod itu akan bersiaran secara langsung dari 26 Jun hingga 10 Julai bermula pukul 9 hingga 10 malam setiap hari.
Pelancaran program Salam Baitullah 2022, disempurnakan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud di ibu negara hari ini.
"Siaran program tahun ini amat signifikan selepas dua tahun umat Islam tidak dapat menunaikan ibadah haji akibat COVID-19,
"Malah, siaran program secara langsung ini juga akan membawakan perkembangan terbaharu jemaah kepada keluarga mereka di tanah air," katanya.
(Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud)
Bertemakan 'Satu Kerinduan, Suatu Kepastian' Salam Baitullah bersiaran di TV1 serta Saluran Berita, 123 My Freeview dan boleh ditonton menerusi laman rtmklik.rtm.gov.my serta Facebook Live.
Program musim haji itu turut menampilkan kelainan dengan memperkenalkan segmen 'Rehlah Haramain' yang memaparkan lokasi-lokasi menarik di Tanah Suci.
Bahkan RTM juga memperuntukkan dua slot masa bersiaran khas sempena Hari Wukuf.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Che Roslan juga memaklumkan jumlah keseluruhan nilai penajaan tahun ini bagi program berkenaan melebihi RM500,000.
Katanya, sebagai mana musim 2021, Aafiyat Holdings Sdn Bhd dan Olive House sebagai penaja utama. Rakan strategik lain ialah Mahabbaten Travel & Tours Sdn Bhd, Lembaga Zakat Negeri Kedah, Impiana Hotel KLCC dan Olis Trading Sdn Bhd.