fb fb fb fb fb

Saham Azam Baki: Cuti sementara dan fokus isytihar harta - JKMR



KUALA LUMPUR, 14 Januari - Jawantkuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) sebulat suara mengesyorkan agar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercuti sementara dari tugasnya kerana didakwa memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, ia adalah bagi memberi laluan untuk beliau disiasat pihak berkuasa.

Tegasnya, isu perisytiharan harta oleh Azam menjadi fokus utama dalam siasatan yang sedang berjalan.

JKMR turut mempersoalkan beberapa persoalan berkenaan pemilikan saham yang sehingga kini masih belum terjawab.

"Enam tahun yang lalu telah berlaku perkara ini (pemilikan saham), adakah pengisytiharan telah dibuat sama ada sebagai beneficial (penerima manfaat) atau milikan sendiri? Itu juga tidak dapat dijelaskan dalam situasi ketika ini.

"Lantaran itu, kami dalam JKMR mengesyorkan supaya siasatan dilakukan terhadap beliau (Azam), tetapi beliau juga telah menyatakan bersedia untuk disiasat.

"Jadi dalam soal ini, tidak timbul sama ada beliau setuju atau tidak untuk disiasat. Kita dapat terima ini sebagai satu ruang ketelusan untuk beliau memberi penjelasan sebenar.

"Pembelian saham adalah hak individu sesiapa pun boleh beli saham, tapi dalam pekeliling 2002 dinyatakan tidak boleh lebih dari RM100,000.

Mengikut pekeliling perkhidmatan bilangan 3 tahun 2002, sesorang pegawai boleh membli saham tertakluk kepada syarat iaitu tidak melebihi 5 peratus daripada modal dibayar atau RM100,000 pada nilai semasa, yang mana lebih rendah dalam tiap-tiap satu syarikat yang diperbadankan.

"Maka beliau (Azam) perlu mengambil cuti rehat sebentar (sementara) jawatankuasa (Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menjalankan tugas mereka," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

“Kami mengesyorkan siasatan dilakukan ke atas Azam sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti, Ketua Setiausaha Negara, jabatan disipilin SPRM atau mana-mana agensi yang berkaitan,” ujar Rais.

Tambah Rais, apabila sesuatu berlaku terhadap ketua jabatan, ia harus sedia disiasat.

“Kita juga tidak tahu apakah status pemilikan saham itu sama ada saham untuk diri sendiri atau tidak dan ia juga perlu disiasat,” katanya.

JKMR dalam sidang media berkata, meskipun siasatan harus dibuat ke atas ketua pesuruhjaya itu, namun mendapati ia bukan perbuatan jenayah.

“Ini bukan perbuatan jenayah, tetapi mungkin salah laku, namun Azam perlu mengambil cuti rehat sementara kes sedang disiatat,” jelasnya.

Turut hadir Senator Zaiedi Suhaili, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.






Media Baharu