KUALA LUMPUR, 30 Jun - Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas dijangka dibentang di Parlimen tahun depan.
Draf awal sudah siap dan kini dalam proses libat urus bersama pihak berkepentingan dan kerajaan negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, draf akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara sebelum akhir tahun ini.
Namun, jika libat urus perlu lebih menyeluruh, pembentangan mungkin ditangguh ke tahun depan.
"Kami sudah siapkan draf tersebut. Apa yang sedang kami lakukan sekarang adalah kembali berbincang dengan pemain industri dan pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklum balas lanjut.
"Kami juga sedang berunding dengan semua kerajaan negeri, terutamanya Sabah dan Sarawak, bagi memastikan mereka bersetuju dengan cadangan yang dibawa," katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Asean-Republik Korea Mengenai Penjagaan dan Sokongan untuk Warga Emas di ibu negara.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Duta Korea Selatan ke Asean, Lee Jang Keun.
Menurut Datuk Seri Nancy, RUU ini apabila digubal kelak, akan mengawal selia sektor penjagaan warga emas dan memastikan kebajikan serta maruah golongan itu terus terpelihara, seiring dengan pertambahan jumlah warga emas di negara ini.
Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang tahun 2030, apabila 15.3 peratus daripada penduduknya berumur 60 tahun ke atas.