fb fb fb fb fb

Lindungi hak wanita, kanak-kanak secara menyeluruh

Datuk Edmund Bon Tai Soon pada sidang media selepas mempengerusikan Bengkel Serantau mengenai Perspektif Lensa Gender dalam Perniagaan dan Hak Asasi Manusia, di ibu negara.

KUALA LUMPUR, 30 Jun - Usaha memperkukuh kesaksamaan gender dan perlindungan hak wanita serta kanak-kanak memerlukan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, sektor korporat dan masyarakat sivil.

Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Datuk Edmund Bon Tai Soon berkata, peranan sektor perniagaan juga penting dalam memastikan hak golongan berkenaan tidak terabai, terutamanya apabila mereka terlibat dalam rantaian operasi syarikat.

“Masih banyak cabaran yang dihadapi wanita dan kanak-kanak yang menuntut perhatian segera. Perlindungan mereka bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi juga pihak perniagaan.

"Syarikat perlu memastikan operasi mereka tidak menjejaskan hak atau keselamatan wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Bengkel Serantau mengenai Perspektif Lensa Gender dalam Perniagaan dan Hak Asasi Manusia, di ibu negara.

Turut dihadiri Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Tengku Mohamed Fauzi Tengku Abdul Hamid.

Bengkel tersebut menghimpunkan lebih 100 perwakilan dari negara ASEAN bertujuan menggalakkan kerjasama serantau dalam menangani diskriminasi dan memperkukuh perlindungan hak wanita dan kanak-kanak, khususnya dalam konteks perniagaan dan pembangunan ekonomi.

Inisiatif itu seiring dengan usaha Malaysia selaku Pengerusi ASEAN yang menekankan rangka kerja berasaskan keterangkuman dan kemampanan sebagai teras utama kepimpinan negara dalam memperjuangkan hak asasi manusia di rantau ini.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN