
KUALA LUMPUR, 24 Februari– Pertimbangan terhadap risiko serta kemudaratan susulan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) akan diberi perhatian menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan yang sedang dirangka kerajaan.
- RUU Tadbir Urus AI akan memasukkan pertimbangan risiko dan pelaporan insiden kemudaratan akibat penggunaan teknologi digital dan AI.
- Perubahan fokus dari Barat, RUU ini mengutamakan aspek etika dan hak warga dalam pembangunan serta pelaksanaan AI.
- RUU turut menangani isu hak cipta dan harta intelek untuk melindungi pencipta serta pemegang hak daripada penggunaan tanpa kebenaran.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata aspek berkenaan penting bagi memastikan pembangunan dan pelaksanaan teknologi itu tidak mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat.
Beliau juga berpandangan antara kelemahan ketara dalam pembangunan sistem AI dan digital ketika ini ialah kecenderungan mengenepikan pertimbangan etika dalam penggunaan dan pelaksanaannya.
“Melihat kepada kemudaratan hasil penggunaan digital dan AI, termasuk laporan insiden berkaitan AI, perkara ini sebenarnya melibatkan persoalan etika kerana antara kelemahan ketara dalam pembangunan sistem AI dan digital ketika ini ialah kecenderungan mengenepikan pertimbangan etika.”
“Bagi negara kita, dalam penggubalan RUU ini, apabila membicarakan soal risiko dan pelaporan insiden kemudaratan AI, isu hak warga serta bahaya akibat pengabaian pertimbangan etika itu tentunya akan dimuatkan.”
“Saya fikir pihak penggubal akan memberi perhatian khusus yang mungkin berbeza daripada pendekatan diamalkan di Barat, yang lebih terperinci dari sudut perundangan, namun aspek moral tidak sentiasa diberi keutamaan,” kata Datuk Seri Anwar, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Parlimen.
Rodziah meminta Perdana Menteri menjelaskan bagaimana RUU Tadbir Urus AI itu akan menangani isu hak cipta dan harta intelek, termasuk perlindungan hak pencipta serta pemegang hak susulan penggunaan karya tanpa kebenaran.