fb fb fb fb fb

RUU Pekerja Gig permudah akses perlindungan sosial

Steven Sim Chee Keong/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang bakal dibentangkan 14 Ogos ini, dijangka menjadi penyelesaian kepada pelbagai kekangan yang membataskan penyertaan golongan pekerja gig dalam sistem perlindungan sosial.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, pendekatan baharu yang dicadangkan menerusi RUU itu akan meringankan beban pekerja gig yang sebelum ini perlu membuat bayaran penuh secara manual dalam jumlah besar.

"Model buat masa ini ialah dia adalah prabayar. Maksudnya bayar dahulu baru dapat perlindungan. Biasanya ia dibayar secara manual sama ada secara bulanan atau tahunan.Angkanya lebih besar mungkin satu tahun paling kurang RM158–RM200 sehingga RM500 untuk skim pekerjaan sendiri. Jadi itu adalah model sekarang.

"Dengan adanya RUU pekerja gig… model Perkeso adalah secasa pascabayar. Maksudnya dapat perlindungan dahulu baru bayar. Keduanya, dia automatik. Setiap seringgit potong satu sen dan bayaran itu kecil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sembang Santai Teh Tarik Industri Gig di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di ibu negara hari ini.

Sistem itu juga tidak akan mewajibkan syarikat platform untuk menanggung sebarang kos baharu kerana hanya perlu mengintegrasi sistem API (antara muka pemprograman aplikasi) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memudahkan pelaksanaan caruman secara automatik.

Sesi libat urus dan penggubalan draf RUU itu telah mengambil masa lebih setahun, melibatkan lebih 40 sesi bersama lebih 4,000 pihak berkepentingan termasuk wakil pekerja dan majikan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI