fb fb fb fb fb

RUU CCUS dibentangkan di Parlimen pada November

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Mei- Rang undang-undang rangka kerja pengawalseliaan progresif untuk pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) akan dibentangkan di Parlimen pada November ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan, rangka kerja kawal selia progresif itu terlebih dahulu akan dibentangkan pada Mesyuarat Kabinet minggu depan.

Beliau berkata, RUU itu akan menilai keseluruhan aspek yang diperlukan bagi membangunkan industri baharu itu, sekali gus, menjamin kepentingan awam serta kelangsungan industri minyak dan gas negara.

"Dengan adanya kerangka, maka ini membolehkan pelabur mula masuk. Mereka telah tahu di mana hendak membuat permohonan, lesen, apa piawaiannya.

"Kalau kita tidak ada undang-undang, kita tidak boleh masuk dalam bidaan itu. Sebab itu, ia perlu berlaku serentak. Selain daripada libat urus berterusan, kita perlu pastikan undang-undang itu perlu diluluskan akhir tahun ini", katanya.

Tambahnya, negara perlu menceburi industri baharu itu, susulan pengeluaran minyak Malaysia yang dijangka susut sehingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang. Manakala, penggunaan tenaga diunjurkan hampir dua kali ganda menjelang 2050.

Beliau berucap dalam forum CEO OGSE100 anjuran Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) di ibu negara.

ROSLINA BINTI DIN