
SEREMBAN, 18 Mac – Kerajaan Negeri Sembilan membatalkan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri tahun ini selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan sebagai langkah penjimatan.
- Majlis di Bandar Sri Jempol (4 April) dan Sambutan Hari Raya MADANI kebangsaan (12 April) tidak akan diteruskan.
- Keputusan dibuat sebagai pendekatan berhemat dalam pengurusan kewangan kerajaan negeri.
- Perdana Menteri memaklumkan semua kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan tidak menganjurkan rumah terbuka sebagai langkah penjimatan.
Majlis yang dijadualkan berlangsung di Bandar Sri Jempol pada 4 April dan sambutan Hari Raya Aidilfitri MADANI 2026 peringkat kebangsaan pada 12 April tidak akan diteruskan, menurut Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Keputusan itu dibuat sebagai pendekatan berhemat dalam mengurus kewangan kerajaan negeri.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri tidak menghalang sambutan perayaan di peringkat jabatan atau agensi namun mereka disarankan melaksanakannya secara sederhana,” katanya kepada pemberita pada Program Mantai Raya 2026 Dewan Undangan Negeri Sikamat di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu lepas memaklumkan semua kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan tidak akan menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini, sebagai langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.
Keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri itu bertujuan memberi mesej jelas bahawa kerajaan komited mengambil pendekatan lebih sederhana dan berhemat dalam perbelanjaan.