PM tekankan keharmonian, undang-undang dalam isu rumah ibadat

Datuk Seri Anwar Ibrahim

SHAH ALAM, 10 Februari- Kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung isu rumah ibadat bagi memastikan keharmonian masyarakat terpelihara dan kestabilan negara terjamin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan bincang dengan negeri untuk pastikan rumah ibadat selaras dengan undang-undang negara.
  • Semua kaum dan penganut agama mesti patuh peraturan sama dalam pembinaan dan pengurusan rumah ibadat.
  • Pendekatan berhati-hati dan berlandaskan undang-undang diperlukan untuk kekalkan keharmonian dan kestabilan negara.
  • Kerajaan tidak benarkan rumah ibadat dibina secara tidak sah tanpa mematuhi peraturan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan juga mengadakan perbincangan dengan semua kerajaan negeri berhubung isu berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan undang-undang dan prinsip Malaysia sebagai sebuah negara hukum.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita semua perlu berpegang kepada hukum dan undang-undang yang berkuat kuasa. Setiap urusan berkaitan ibadat hendaklah dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan tanpa sebarang pengecualian,” katanya ketika berucap merasmikan Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor 2026 di sini, malam ini.

Tambah Datuk Seri Anwar, walaupun pelaksanaan sesuatu keputusan memerlukan masa untuk difahami dan diterima, pendekatan berlandaskan undang-undang penting bagi memastikan pembangunan negara tidak menjejaskan keharmonian masyarakat serta kekuatan asas negara.

Terdahulu, ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan Putrajaya pada Isnin, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak membenarkan mana-mana rumah ibadat dibina secara tidak sah tanpa mematuhi peraturan.