SEREMBAN, 23 Februari- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyasarkan untuk melaksanakan program Rumah Ibadat Hijau (RIH) di 25 rumah ibadat di seluruh negara pada tahun ini.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, program Rumah Ibadat Hijau ini bertujuan untuk menjadikan rumah-rumah ibadat seperti masjid sebagai pusat pemangkin kelestarian alam sekitar dan menjadi premis contoh bagi amalan kecekapan tenaga, air dan lestari.
Jelasnya, sehingga kini, terdapat 12 RIH di seluruh negara, manakala 58 RIH masih dalam status permohonan.
"Untuk sasaran Rumah Ibadat Hijau ini, kita meletakkan sasaran sebanyak 25 Rumah Ibadat Hijau dalam setahun. Kita akan jadikan itu sebagai satu pemangkin untuk kita memperbanyakkan lagi amalan gaya hidup hijau ini", katanya dalam sidang media sempena Majlis Perasmian Sistem Solar Hasil Perdanaan Wakaf Masjid Hijau di Masjid Jamek Datuk Klana Petra Sendeng, Ampangan.
Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Jamek Datuk Klana Petra Sendeng, Rosli Che Man, berkata masjid tersebut merupakan salah satu masjid penerima dana Wakaf Masjid Hijau berjumlah RM60,000 untuk projek pemasangan sistem panel solar.
"Pertama, kita dapat dana RM60,000 itu daripada Yayasan Wakaf Malaysia, selepas tenaga itu kita jimat RM1000 sebulan dan itu fasa pertama. Pada fasa kedua ada lagi keseluruhan masjid ini telah dipasangkan solar, cuma fasa kedua itu belum jadi, kita dapat jimat RM1000, kita boleh gunakan RM1000 itu untuk aktiviti lain yang lebih bermanfaat", katanya.