fb fb fb fb fb

Rumah dua tingkat musnah terbakar di Lopeng Tengah

Api marak memusnahkan sebuah rumah dan kereta di Kampung Lopeng Tengah pukul 6.00 pagi tadi/Foto Bomba

MIRI, 26 Mac – Sebuah rumah dua tingkat separuh kekal di Lorong 2B, Kampung Lopeng Tengah musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Kebakaran itu melibatkan kemusnahan hampir 80 peratus struktur rumah serta sebuah kenderaan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.24 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dan BBP Miri dikejarkan ke lokasi kejadian.

Komander operasi, Timbalan Penguasa Bomba II Hamdani Madon memaklumkan operasi pemadaman melibatkan 11 anggota menggunakan kaedah menyerang (attacking) dan bertahan (defensive).

“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.15 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pukul 8.21 pagi selepas kerja-kerja overhaul dijalankan bagi memastikan tiada lagi sisa bara api,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden tersebut.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

GRACE AISYAH KEDAYAN