
KUALA TERENGGANU, 13 Mac – Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu terus menyemarakkan bulan Ramadan menerusi penganjuran program tahunan Ghepok Nyahur yang bertujuan menyantuni petugas barisan hadapan di sekitar Kuala Terengganu.
- Program anjuran Terengganu FM memberi penghargaan kepada petugas yang bertugas waktu sahur sepanjang Ramadan.
- Konvoi diketuai Pengarah Penyiaran Negeri Noriza Salleh menyantuni empat agensi keselamatan dan kesihatan bertugas sepanjang malam.
- Program mengeratkan hubungan antara RTM dan agensi terlibat serta menyuntik semangat kebersamaan dan penghargaan kepada barisan hadapan.
Program anjuran Terengganu FM itu memberi penghargaan kepada petugas yang menjalankan tugas pada waktu sahur sepanjang Ramadan.
Skuad Ghepok Nyahur yang diketuai Pengarah Penyiaran Negeri Terengganu, Noriza Salleh bersama penaja memulakan konvoi selepas acara pelepasan di perkarangan RTM Terengganu.
Konvoi tersebut menyasarkan empat lokasi melibatkan agensi keselamatan dan petugas kesihatan yang bertugas sepanjang malam.
Menurut Noriza, program itu diharap dapat menyuntik semangat kepada petugas barisan hadapan yang terus menjalankan tanggungjawab walaupun dalam bulan Ramadan.
“Kita menghargai jasa mereka yang bertugas secara syif dan juga ‘on-call’ apatah lagi di bulan Ramadan ini. Kali ini kita memilih empat agensi iaitu bermula dengan pasukan PDRM, diikuti Bomba Terengganu, seterusnya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan akhir sekali di Hospital Sultanah Nur Zahirah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Nor Mahathir Muhamad berkata program berkenaan bukan sahaja menghargai pengorbanan barisan hadapan, malah menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang Ramadan.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada RTM kerana tidak melupakan anggota bomba yang bertugas menjaga keselamatan masyarakat sepanjang masa.
“Secara peribadinya saya amat gembira dengan kedatangan pihak RTM pada malam ini kerana tidak melupakan jabatan kami dalam usaha menyantuni anggota yang bekerja 24 jam bagi memastikan keselamatan masyarakat di negeri Terengganu,” katanya.
Menariknya, program Ghepok Nyahur turut disertai barisan penyampai radio Terengganu FM yang turun padang menyantuni petugas terlibat.
Selain simbolik penyerahan juadah sahur, program tersebut juga menjadi platform mengeratkan hubungan antara RTM dan agensi terlibat.