fb fb fb fb fb

RTM rangkul dua anugerah Media Pelancongan Perubatan 2023

Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjaya merangkul dua kategori dalam Anugerah Media Pelancongan Perubatan 2023 (MTMA) pada malam tadi

KUALA LUMPUR, 15 Disember - Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjaya merangkul dua kategori dalam Anugerah Media Pelancongan Perubatan 2023 (MTMA), berlangsung malam tadi.

Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, kemenangan itu merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan hasil komitmen dan kesungguhan sebagai pengamal media.

"Kali ni kita menghantar banyak pencalonan dan semuanya masuk ke peringkat akhir bagaimanapun yang menang hanya dua penyertaan sahaja, itu maksudnya kualiti kita sangat tinggi. Jadi saya sangat bangga," kata beliau selepas penyampaian Majlis Anugerah Media Pelancongan Perubatan 2023 (MTMA) pada Khamis di ibu negara.

Wartawan dan bekas penyampai berita RTM, Normaiza Musa memenangi kategori Rencana Terbaik Penyiaran dengan trofi dan hadiah wang tunai RM8,000.

"Faktor usia.. tak bolehlah diambil kira; tetapi sebab ada semangat kena ada kesungguhan dan minat yang tinggi serta komitmen kerja yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Ketua Penyunting Berita RTM, Norianti Nordin berkata, pihaknya sentiasa bersifat terbuka menerima kreativiti hasil idea setiap wartawan.

"Kami editorial meraikan kreativiti. Sekiranya ada laporan-laporan yagn disifatkan amat kreatif kami amat mengalu-alukan. Jadi editorial tugasnya untuk mencantikkan skrip, menyemak fakta dan memastikan apa yang disalurkan kepada penonton menepati dasar-dasar kerajaan sedia ada selama ini," katanya.

RTM juga muncul juara Kategori Pasukan Editorial Pelancongan Perubatan Terbaik Tahunan membawa pulang trofi beserta wang tunai RM10,000.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan dengan penyertaan wartawan serta pempengaruh daripada pelbagai agensi berita tempatan dan luar negara. Antaranya Bernama, Astro Awani, Liputan 6, Channel News Asia dan The Bruneian.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.

MTMA dianjurkan MHTC bertujuan mengiktiraf kecemerlangan dalam kewartawanan media tempatan dan antarabangsa serta pempengaruh yang berkongsi cerita mempromosikan pelancongan perubatan di Malaysia.

GRACE AISYAH KEDAYAN