fb fb fb fb fb

RTM rangkul dua Anugerah Media MSOH 2022

KUALA LUMPUR, 10 Februari- Radio Televisyen Malaysia (RTM) merangkul anugerah utama tempat pertama dan ketiga pada majlis Anugerah Media Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) 2022, di sini, malam Khamis.

Penyelia siaran RTM Perak, Paranthaman Nadarajan, 34, menang tempat pertama bagi kategori Media Penyiaran Radio dan Radio Dalam Talian menerusi laporan berita radio bertajuk 'Hati-hati Kebisingan Berterusan’ yang disiarkan pada 30 Jun tahun lalu sekali gus membawa pulang wang tunai bernilai RM2,500.

“Laporan berita radio itu disiarkan untuk siaran radio negeri iaitu Perakfm mengenai masalah kehilangan pendengaran disebabkan pekerjaan yang terdedah dengan bunyi bising secara berterusan di tempat kerja dan bagaimana PERKESO membantu pekerja dalam masalah itu,” katanya ketika dihubungi RTM selepas menerima anugerah itu di Hotel Sunway Putra di sini malam tadi.

Laporan Paranthaman yang berdurasi 30 minit berjaya menewaskan dua laporan berita BFM dan Astro Radio News yang dicalonkan dalam kategori yang sama.

(Paranthaman Nadarajan (kiri) membawa pulang wang tunai RM2,500)

Selain itu, rancangan Panorama Unit Majalah dan Dokumentari TV melalui episod ‘Wira Awangan’ yang diterbitkan oleh Rozihan Mohd Raji meraih tempat ketiga bagi kategori Penyiaran Televisyen dan Video Dalam Talian yang sama dan membawa pulang hadiah bernilai RM1,000.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud.

Dalam majlis itu seramai sembilan pemenang menerima Anugerah MSOSH 2022 yang dipertandingkan melalui tiga kategori iaitu Media Cetak dan Portal Berita, Media Penyiaran Televisyen dan Video dalam Talian serta Media Penyiaran Radio dan Radio dalam Talian.

Sementara itu, Mustapha mengucapkan tahniah kepada semua pengamal media atas pengiktirafan yang diperoleh.

Beliau berharap pihak media akan melakukan lebih banyak liputan berkaitan isu kesihatan dan keselamatan dalam pekerjaan supaya maklumat yang berkaitan sampai kepada masyarakat di seluruh negara.

“Ia sekali gus dapat membantu dalam mengurangkan kehilangan tenaga kerja yang boleh menyebabkan negara kehilangan produktiviti dan kerugian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

(Rozihan Mohd Raji (kiri) meraih tempat ke-3)

Anugerah MSOH ialah anugerah tahunan diperkenalkan sejak 2019 disampaikan kepada organisasi di Malaysia yang mempunyai prestasi cemerlang terhadap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH).

MSOH menganjurkan Anugerah Media MSOH 2022 bagi memberi pengiktirafan kepada pengamal media yang telah membuat laporan media melalui media cetak, media elektronik atau siaran radio berkaitan semua isu kesihatan dan keselamatan pekerjaan di tempat kerja atau di tempat awam sepanjang 2022.

Media Baharu