fb fb fb fb fb

RTM perlu kekal relevan, hasilkan program dekati khalayak

Datuk Suhaimi turut sama berkaraoke ketika menjadi tetamu khas Program 3 Suara Bersama Nasional FM

KUALA LUMPUR, 29 Disember- Misi utama yang perlu digalas oleh Bahagian Penyiaran Radio Televisyen Malasyia (RTM), khususnya pada tahun 2024 adalah mendekati khalayak secara lebih berkesan.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, bagi meneruskan misi itu, program-program menarik harus disajikan sama ada melalui siaran langsung di radio, sosial media mahupun turun ke lapangan khas buat pendengar.

"Saya rasa pada tahun 2024, kita akan bawa program-program ke luar supaya kita lebih dekat dengan pendengar dan penonton kita. Jadi yang itu sangat penting kerana apabila mereka dekat dengan jenama RTM jadi mereka lebih sayang pada jenama itu.

"Paling penting di RTM kita ada tiga perkara yang ditekankan, iaitu kita perlu relavan, 'relatable' dan juga disayangi, maksudnya orang boleh dekat dengan kita kerana seolah-olah kita memahami mereka," katanya.

Sementara itu, bagi tahun 2024, banyak pembaharuan sudah dirancang untuk penyiaran radio-radio RTM.

Datuk Suhaimi memaklumkan, langkah itu diambil untuk mengukuhkan jenama radio RTM dari segi muzik, hiburan dan pengisian gaya hidup terkini.

"Kita akan buat hebahan dari masa ke semasa kerana banyak benda yang sedang kita usahakan.

"Jadi, tunggu sahaja dan akan kita dapat lihat serta dengar kehebatan-kehebatan yang akan dibawakan oleh rakan-rakan kita dari radio,"katanya.

Beliau menyatakannya kepada Berita RTM selepas menjadi tetamu khas Program 3 Suara Bersama Nasional FM pagi tadi.

Tiga suara dikendalikan DJ Sonic, DJ Dyya dan DJ Nazrie bersiaran setiap hari Isnin sehingga Jumaat, bermula pukul 6.00 hingga 10.00 pagi.

Sesi karaoke sambil bersantai pada program itu turut disiarkan secara langsung di Tik Tok stesen radio berkenaan.

2912 KP RTM RELEVANKP Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE