
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperkukuh kesejahteraan rohani dalam kalangan warga kerjanya melalui Majlis Khatam al-Quran Berita Ehwal Semasa (BES) 2026 di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
- Program tadarus dan Khatam al-Quran memasuki tahun keenam, menghimpunkan warga BES dan kakitangan RTM selepas sesi tadarus sepanjang Rejab, Syaaban dan Ramadan.
- Inisiatif ini mempererat hubungan sesama warga kerja sambil mengisi masa rehat dengan pengisian rohani dan memakmurkan Ramadan.
- Sokongan Prasarana dan pengisian doa serta tazkirah menggalakkan penghayatan al-Quran sebagai panduan hidup dan amalan kerohanian.
Program yang memasuki tahun keenam penganjurannya itu menghimpunkan warga BES dan kakitangan RTM untuk menamatkan bacaan al-Quran selepas sesi tadarus sepanjang bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan.
Menurut Pengarah BES, Md Shahri Saripan, program ini turut menjadi platform mempererat hubungan antara warga kerja serta mengisi masa rehat dengan pengisian rohani.
“Program tadarus dan khatam al-Quran ini memasuki tahun keenam penganjurannya, bertujuan mengimarahkan Ramadan dengan pengisian kerohanian. Ia bukan sahaja melibatkan warga BES, malah seluruh kakitangan RTM di Angkasapuri.
“Melalui aktiviti ini, kita dapat mengeratkan hubungan sesama warga kerja sambil mengisi masa dengan membaca al-Quran.” jelas beliau.
Majlis turut mendapat sokongan daripada Ketua Komunikasi Strategik & Hubungan Media Prasarana,Tengku Azrawati Tengku Arshad yang berkongsi rezeki dan menghargai jasa warga media RTM.
“Alhamdulillah, tahun ini genap 10 tahun Prasarana berkongsi rezeki bersama warga media RTM sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan terhadap usaha kami menyampaikan maklumat kepada orang ramai.
“insya-Allah, kami akan terus menjalankan aktiviti ini pada tahun-tahun akan datang. Kebetulan tahun ini ia bersamaan dengan program Khatam al-Quran BES, jadi kalau ada program lain yang berrtembung, kami akan terus memberi sokongan.” ujar beliau ketika ditemui di sini.
Selain itu, Ketua Imam Masjid Muhammadi Angkasapuri RTM, Ustaz Mohd Firdaus Muhamad turut menekankan kepentingan penghayatan al-Quran dalam kehidupan harian.
“al-Quran merupakan bacaan yang perlu diamalkan secara berterusan. Saya berharap warga RTM menjadikannya sebagai teman dalam kehidupan dan pekerjaan.” katanya.
Majlis Khatam al-Quran BES 2026 juga diisi dengan doa selamat dan tazkirah, mengingatkan warga RTM supaya menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dan amalan kerohanian sepanjang bulan Ramadan.