RPN 2026–2035 perkukuh ekosistem pendidikan negara

RPN 2026–2035 akan dilancar Perdana Menteri 20 Januari ini.

KUALA LUMPUR, 18 Januari – Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 akan dilancar Perdana Menteri 20 Januari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan strategik nasional merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan dari peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.
  • Menekankan sistem pendidikan yang inklusif, mampan dan berdaya saing.
  • Rangka pendidikan tinggi 2026–2035 menjadi dokumen hala tuju utama bagi dekad akan datang.
  • Rancangan negara berasaskan tujuh teras strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi, dilaksanakan secara bersepadu.

Rancangan berkenaan merupakan pelan strategik nasional merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara, daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.

Pelancarannya sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem pendidikan yang inklusif, mampan dan berdaya saing.

Bagi sektor pendidikan tinggi, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 akan berperanan sebagai dokumen hala tuju utama pembangunan pendidikan tinggi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Ia dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar melibatkan 181 pakar tempatan serta 8,226 pihak berkepentingan.

Libat urus berkenaan melibatkan sarjana, tokoh akademik, institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, pihak industri serta wakil masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Sementara itu, Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 pula menjadi rujukan asas pembangunan pendidikan negara melalui tujuh teras strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi, dengan pelaksanaannya diselaraskan secara bersepadu.