RPN 2026–2035: Lonjakan besar sistem pendidikan negara

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035, di Putrajaya/ Foto FB Zahid Hamidi

PUTRAJAYA, 20 Januari – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 sebagai satu lonjakan besar ke arah pembaharuan menyeluruh sistem pendidikan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengembalian elemen ujian dan penilaian untuk memperkukuh asas pembelajaran murid di peringkat rendah dan menengah.
  • Penekanan awal terhadap pendidikan TVET sejak Tingkatan Satu untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.
  • Pengukuhan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah bagi memperteguh jati diri dan identiti nasional.

Beliau berkata pelaksanaan semula elemen ujian dan penilaian dalam sistem pendidikan merupakan langkah tepat yang mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh asas pembelajaran murid.

“Ia merupakan satu lonjakan ke arah perubahan besar dalam sistem pendidikan, dengan pengenalan semula elemen ujian dan penilaian.

“Kerajaan menunjukkan komitmen apabila ujian tersebut dilaksanakan di peringkat Darjah Empat bagi sekolah rendah. Bagi sekolah menengah, kami menghargai pelaksanaan ujian itu di Tingkatan Tiga”, katanya kepada pemberita semasa Majlis Pelancaran RPN 2026-2035, di sini.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap keputusan kerajaan melaksanakan ujian di peringkat menengah bermula tingkatan tiga, selain memperkenalkan penekanan awal terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) apabila pendedahan diberikan seawal Tingkatan Satu.

“Saya melihat terdapat perubahan besar apabila pendidikan TVET diberikan penekanan lebih awal dan ini merupakan satu pendekatan yang terbaik,” katanya.

Mengulas mengenai pendidikan tinggi pula, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata anjakan yang dibuat melalui RPN 2026–2035 dapat menangani isu ketidakselarasan antara bidang pengajian dan keperluan alam pekerjaan.

“Penyelarasan telah dilakukan dengan sebaik-baiknya bagi memastikan graduan tidak berdepan masalah ‘mismatching’ dengan pasaran kerja,” katanya.

Beliau turut menyambut baik penekanan terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, termasuk keperluan pengambilannya di sekolah agama, tahfiz dan pondok, selari dengan usaha memperkukuh jati diri dan identiti nasional.

Dalam masa sama, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menegaskan bahawa sektor TVET akan terus diarusperdanakan menerusi RPN ini, sejajar dengan peningkatan ketara tahap kebolehpasaran graduan.

“Laporan menunjukkan kebolehpekerjaan meningkat daripada 91.5 peratus kepada 99.5 peratus. Ini satu lonjakan amat baik dan membuktikan TVET menjadi teras penting dalam rancangan pendidikan negara,” katanya.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan