fb fb fb fb fb

Ross Ariffin terima rumah PPR

Foto FB Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 11 Februari- Nasib Komposer, Ross Ariffin atau nama sebenarnya, Roslan Ariffin Jamil yang ditemukan sebagai gelandangan, mendapat perhatian Kerajaan Perpaduan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata Ross yang berjaya ditemukan di Melaka telah diberikan sebuah unit Program Penempatan Rakyat (PPR), hasil bantuan Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa.

Fahmi juga turut berbincang dengan pihak RTM supaya komposer berkenaan dapat bekerjasama dengan stesen penyiaran itu dalam penciptaan lagu baharu kelak.

"Satu pertemuan juga telah diatur dengan pengarah muzik dan pemain piano, Datuk Mokhzani Ismail untuk merancang penerbitan lagu baharu yang boleh digubah oleh Ross," katanya kepada pemberita di sini.

Ross pernah mewarnai industri hiburan tanah air dengan deretan lagu popular ciptaannya didendangkan barisan penyanyi popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Jacklyn Victor dan Fauziah Latiff.

Hidupnya mula berubah selepas beliau jatuh sakit, malah terpaksa menjamah sisa makanan yang ditinggalkan di atas meja demi meneruskan kehidupan.

Fahmi juga menyatakan, Ross sedang mencari sebuah keyboard baharu dan sedikit wang tambahan untuk memulakan kembali kehidupan. 

Jasa baik prihatin masyarakat amat dialu-alukan untuk menderma kepada Ross di nombor tertera.

Roslan Ariffin bin Jamil
0410041100013234
Bank Simpanan Nasional (BSN)

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM