KUALA LUMPUR, 15 Mac– Program travelog santai, “Ronda-Ronda Ramadan” berkonsepkan 'food-hunting', mencari juadah berbuka puasa dan tempat makan yang popular dan tular di sekitar tanah air kembali bersiaran tahun ini.
RTM menerusi kenyataan media memaklumkan program tersebut akan disiarkan bermula hari ini, pada setiap Jumaat hingga Ahad, pukul 2.30 petang di TV2.
Menampilkan gandingan pelakon Zulin Aziz dan Nadhir Nordin sebagai hos, program terbitan Unit Majalah dan Dokumentari RTM untuk musim ketiga ini kembali memulakan kembara mencari makanan dan resepi tular pada bulan Ramadan.
"Menyajikan kepada khalayak sasaran, juadah Ramadan yang menarik dan unik mengikut konsep serta tema restoran-restoran tempatan sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
"Penonton diajak menelusuri warna-warni tradisi dan aroma tempatan melalui empat segmen terbaharu tahun ini. Bermula dengan segmen Jom Singgah penonton diajak singgah ke kafe atau restoran-restoran menarik di sekitar bandar yang dipilih.
"Diikuti segmen Biz Selebriti, menjenguk dapur selebriti sambil bertanya khabar kerjaya dan perniagaan terkini yang diusahakan mereka. Antara selebriti undangan temasuklah Mawi, Lana Nordin, Mila Jirin, Dato’ Fazley, Zizi Kirana, dan Linda Onn. Turut berkongsi resipi mereka pempengaruh media sosial Haze, Syamimia, Aleeya Zailan, dan ramai lagi.
"Menarik dalam segmen Fit Ramadan pula mengundang Dr Malar dan Puan Liana Shaza, pakar nutrisi / diet / pemakanan berkongsi tips serta info kesihatan terkini. Akhir sekali, nantikan segmen Kelentang Kelentung, memasak menu daripada restoran terpilih sambil melakukan aktiviti-aktiviti menarik di situ.
Selain bersiaran di TV2, penonton juga boleh menyaksikan program ini menerusi penstriman langsung secara percuma di RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).