fb fb fb fb fb

RM73.4 juta dibelanjakan selenggara jalan berlubang

(Datuk Seri Alexander merasmikan alat SPT ketika membuat lawatan pemantauan pengujian sistem
kutipan Tol secara pembayaran terbuka di Plaza Tol Putrajaya Lebuhraya MEX/BERNAMA)

PUTRAJAYA, 2 Ogos- Sebanyak RM73.45 juta telah dibelanjakan bagi kerja penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh negara termasuk membaiki jalan raya berlubang dan perabot jalan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Katanya perbelanjaan itu bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini merupakan sebahagian daripada peruntukan kerajaan dalam Kempen My Jalan berjumlah RM217.80 juta, yang bertujuan menaik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya.

Peruntukan berkenaan juga merangkumi kos penyelenggaraan perabot jalan seperti tiang lampu dan pembahagi jalan.

"Sebanyak 2,950 jalan berlubang sudah dibaiki hingga 30 Jun lalu. Jenis perabot jalan yang diselenggara rel adang (guard rail), papan tanda, garis jalan yang pudar, longkang dan pembentungan serta kerja pemotongan pokok," katanya.

Menurut Alexander, KKR sedang merangka kempen My Jalan merangkumi usaha mengatasi pelbagai isu utama seperti jalan berlubang, lampu jalan rosak, perabot jalan dan sebagainya.

"Kita mahu berkempen berorientasikan tindakan berlandaskan konsep 'tindakan lebih penting daripada ucapan'," kata beliau dalam sidang media semasa mengadakan lawatan memantau pengujian Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) di Plaza Tol Putrajaya, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) di sini.

Tambahnya, bagi memudahkan aduan berkenaan jalan rosak dibuat, pihak KKR sedang menaik taraf aplikasi khas untuk sistem aduan sedia ada.

Menjelaskan lebih lanjut tujuan kempen My Jalan, Alexander berkata, ia untuk meningkatkan penglibatan semua pihak terutama pemain industri, agensi kerajaan dan swasta serta pengguna sendiri dalam usaha menjaga jalan raya dan infrastruktur berkaitan.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa KKR akan menyediakan saluran aduan sehenti dalam bentuk aplikasi, bagi memudahkan aduan awam dan melancarkan pemprosesan aduan yang diterima.

“Aplikasi itu dapat memberi lokasi tepat kepada kita berhubung jalan rosak yang dihantar oleh pengadu supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

(RM73.4 juta dibelanjakan selenggara jalan berlubang)

Media Baharu