BATU GAJAH, 13 Jun - Kerajaan negeri Perak menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) memperuntukkan RM5 juta, bagi meneroka sektor agropelancongan di negeri itu.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pihaknya giat berusaha mempelbagaikan sumber pendapatan negeri selain kebergantungan kepada komoditi kelapa sawit dan pertanian.
Jelas beliau, Perak SADC secara proaktif memperluaskan bidang agropelancongan dan ekopelancongan negeri menerusi beberapa tempat yang dibangunkan seperti Perak Agrotourism Resort (Patro), Taman Herba, Masoorat Heritage Park, Denai Kabus dan Ulu Piah.
"Hal ini sejajar dengan visi Perak SADC untuk menjadi agensi peneraju pembangunan pertanian yang unggul dan dihormati, selain diperkasakan dengan misi membangunakan sektor pertanian negeri dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat, serta negeri Perak melalui projek-projek komersial pertanian dan industri asas tani yang bernilai tinggi, serta pelbagai program pembangunan sosial berimpak tinggi," kata Mohd Zolkafly, di sini.
Tambahnya, kesemua lokasi berkenaan menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti eksplorasi gua, tapak perkhemahan, aktiviti berbasikal, memancing, lawatan herba dan sebagainya.
(Mohd Zolkafly bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan
Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasamadi antara Perak SADC
dengan Papan Agro Valley Sdn Bhd di Mukim Belanja, di sini)