KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Kira-kira RM40 bilion disediakan sebagai kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan perniagaan bawah agensi-agensi kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, institusi kewangan pembangunan (IKP) dan agensi kerajaan memainkan peranan besar dalam membangun usahawan tempatan di setiap peringkat perniagaan.
"Pinjaman bersaiz mikro tersedia sehingga RM3.2 bilion, antaranya oleh TEKUN Nasional (TEKUN) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi membantu penjaja kecil termasuk komuniti orang kurang upaya (OKU), masyarakat Cina serta bumiputera.
"Bank Pembangunan Malaysia Berhad menyediakan dana pembiayaan RM6.4 bilion antaranya bagi menyokong pembiayaan sektor pembangunan infrastruktur, digitalisasi, pelancongan, logistik dan pengangkutan serta tenaga boleh baharu dan peralihan.
"Kerajaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan terus menjamin pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sehingga RM20 bilion termasuk jaminan RM5 bilion khas untuk PKS Bumiputera," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen.
Bank Negara Malaysia (BNM) turut menyediakan pinjaman dana PKS bernilai RM3.8 bilion bagi menyokong usahawan untuk beralih ke arah digital dan automasi selain terus membantu sektor agromakanan dan amalan lestari.
Sementara itu RM650 juta akan dikhususkan untuk menyokong wanita dan belia menceburi bidang keusahawanan.
"Bagi memelihara modal insan, sosial dan kebajikan masyarakat India, RM130 juta disediakan khusus untuk melaksanakan pelbagai program termasuk pembiayaan perniagaan komuniti India," katanya.
Kerajaan turut mencadangkan had amaun pinjaman atau pembiayaan Skim Pembiayaan Mikro bagi tujuan pengecualian duti setem dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000 mulai 1 Januari depan.
"Bagi meluaskan akses perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada pinjaman atau pembiayaan alternatif, kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara perjanjian pinjaman atau pembiayaan yang disempurnakan PMKS dengan pelabur melalui platform Initial Exchange Offering (IEO) mulai 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2026," katanya.
Bagaimanapun kerajaan terus menyokong aktiviti perniagaan badan-badan koperasi termasuk menyediakan modal pusingan dan dana pembiayaan sehingga RM100 juta disediakan bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Berkenaan kemudahan penjaja dan peniaga kecil Perdana Menteri berkata, sebanyak RM100 juta disediakan pada tahun depan dalam memastikan tahap keselesaan serta keselamatan warung, gerai dan pasar.
"Membina gerai-gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara.
"Menyediakan ruang niaga kepada penjaja kecil Tamu Desa Sabah dan Sarawak; serta menaik taraf kemudahan perniagaan bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA)," katanya.