KUALA LUMPUR 14 Jun -Komuniti wartawan dan pengamal media menyifatkan peruntukan RM30 juta yang diumumkan kerajaan sebagai suntikan strategik bagi melonjakkan media tempatan ke tahap lebih moden, kompetitif dan selari dengan tuntutan era digital global.
Peruntukan yang diumumkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 itu dilihat sebagai langkah tepat pada masanya untuk membantu organisasi media tempatan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap digital, termasuk penerapan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan penghasilan kandungan digital berkualiti tinggi.
Seorang pengamal media, Siti Jamilah Hanim Jamil, menyambut baik langkah kerajaan itu yang disifatkannya sebagai satu komitmen proaktif bagi memastikan media tempatan tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan.
“Alhamdulillah, sebagai salah seorang pengamal media, saya sangat menyambut baik makluman Perdana Menteri mengenai peruntukan RM30 juta ini.
"Insentif ini memastikan media tempatan terus relevan dan tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan global,” katanya.
Mohd Iskandar Othman turut bersetuju dengan langkah itu dan percaya peruntukan tersebut menjadi pemangkin peningkatan kemahiran digital dalam kalangan pengamal media.
“Saya menyambut baik insentif ini. Ia mampu meningkatkan lagi kemahiran serta mempercepatkan transformasi digital yang amat diperlukan oleh pengamal media di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Fazlizai Ali menekankan bahawa peluang penggunaan teknologi seperti AI perlu diterokai secara meluas melalui peruntukan berkenaan agar organisasi media dapat terus berdaya saing.
“Dengan peruntukan itu, para pengamal media boleh memanfaatkannya sepenuhnya untuk menaik taraf kemahiran dan teknologi sejajar perkembangan industri. Ia juga membuka lebih banyak ruang, bukan hanya untuk organisasi media arus perdana, malah juga individu dan media bebas,” ujarnya.
Bagi Iqbal Hamdan, peralihan ke arah digital tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan tetapi satu keperluan asas dalam ekosistem media moden.
“Peralihan ke arah digital ini bukan lagi sesuatu yang boleh ditangguhkan. Dengan peruntukan ini, kita boleh memperkukuh kemahiran insaniah dan meningkatkan penguasaan teknologi seperti AI agar pengamal media lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 hari ini mengumumkan peruntukan RM30 juta kepada organisasi media ke arah melaksanakan transformasi digital dan penggunaan teknologi baharu dalam penghasilan bahan kandungan.