SIK, 7 Mac- Sebanyak RM3,425,310 hasil kutipan fidyah terkumpul direkodkan di Kedah sehingga tahun 2024 Masihi bersamaan 1445 Hijriah.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.205 juta agihan dalam bentuk tunai dan beras diagihkan kepada 8,820 orang fakir miskin melalui 588 buah masjid di seluruh Kedah.
Manakala RM1,145,310 diagihkan kepada 31 Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan 39 buah pondok.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, perkhidmatan fidyah yang dilaksanakan oleh pihak Baitulmal Negeri Kedah telah mendapat sokongan daripada masyarakat.
Jumlah kutipan fidyah juga semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Baginda bertitah, perolehan kutipan fidyah akan dikumpulkan dalam satu akaun khas dan diagihkan kepada golongan yang berhak menerimanya.
“Untuk memudahkan pembayar fidyah, mereka boleh melayari laman web Majlis Agama Islam dan boleh dibayar secara dalam talian.
"Tapi kalau yang nak bayar tunai pun boleh berbuat demikian di pejabat,"baginda bertitah demikian kepada RTM selepas Majlis Kurniaan Keluarga Diraja Sultan Kedah dan Penyampaian Sumbangan Fidyah bagi tahun 1445/2024M di Masjid As-Salam, Kampung Chepir, Sik, Kedah, pagi tadi.
Pada majlis itu, seramai 150 penerima agihan fidyah menerima wang tunai dan kit bantuan makanan daripada Baitulmal Negeri Kedah berjumlah RM75,000.
Mohd Rizalki Zakaria,51 tahun, dari Kampung Bendang Man menzahirkan ucapan terima kasih dan syukur diatas sumbangan yang diberikan.
“Seronok dan terharu sebab dapat jumpa dengan Raja Muda sendiri bagi kepada (penerima), dapat membantu semualah golongan ni di tempat kami, Alhamdulillah meringankan beban kami terutama untuk sambut Ramadan selain untuk anak-anak sekolah,"katanya.
Perasaan sama turut dikongsi Norain Zainol, 29 tahun, dari Kampung Bunga Chepir yang baru kehilangan ayahanda tercinta.
“Bersyukur, rezeki kita dapat macam tu, ini pertama kali saya terima, tambah pula arwah abah pun baru t meninggal dunia, dengan mak pun kerja bolehla kata rezeki dapat bantuan, dapat meringankan beban orang-orang kampung yang fakir miskin ni,"katanya.
Allah SWT mensyariatkan fidyah sebagai bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat mengganti puasanya di bulan Ramadan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadan pada tahun berikutnya.
Hukum menyempurnakannya adalah wajib.