PADANG TERAP, 21 Ogos- Sebanyak RM3.4 juta diperuntukkan menerusi Program Agromakanan, Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Kedah tahun ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.18 juta telah disalurkan kepada 111 usahawan.
Pengarah RISDA Negeri Kedah, Abdul Aziz Awang berkata Program Agromakanan merupakan salah satu inisiatif RISDA bagi membantu pekebun kecil meningkatkan penghasilan dan pendapatan melalui bidang pertanian, selain dari sumber getah.
Program Agromakanan RISDA ini sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) dan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.
Ia bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada pendapatan dari sumber getah dengan memfokuskan bidang agromakanan agar menjadi lebih efektif dalam meningkatkan taraf kehidupan pekebun kecil.
Disamping itu, ia bagi menggalakkan pekebun kecil menerokai sumber baharu untuk meningkatkan pendapatan.
Katanya, sehingga kini seramai 1,804 usahawan RISDA di bawah Program AET telah mencapai purata pendapatan sehingga RM3,541 sebulan dan menghampiri sasaran RM4,500 sebulan pada tahun 2025.
"Jadi, kita masih lagi mempunyai baki peruntukan dan ada juga permohonan yang kita lulus, ada juga baki. Diharap semua pekebun kecil di seluruh Negeri Kedah yang berkelayakan atau yang masih tidak faham terus pergi ke stesen-stesen RISDA yang berhampiran untuk mendapat penerangan.
"Kalau layak... teruslah membuat permohonan demi untuk peningkatan sosioekonomi pekebun kecil yang berada di luar bandar", katanya kepada RTM selepas merasmikan Projek Agromakanan Pemprosesan Pallet Makanan Ternakan Kampung Kubang Kenyeng di Padang Terap, Kedah.
Sementara itu, usahawan yang ditemui menyifatkan bantuan yang disalurkan oleh RISDA banyak membantu meningkatkan perusahaan dan pendapatan mereka.
"Terima kasihlah RISDA bagi bantuan kepada kita untuk menjana lebih pendapatan. Di kawasan Padang Terap ini, punya permintaan banyak... untuk permulaan kita cuma jadi macam pemborong, kita juga ada ternakan. Daripada situ kita mula kaji proses pembuatan dedak lembu", kata Pengusaha Projek Pallet Makanan Ternakan, Adam Wong.
"RISDA bantu mesin pembungkusan dan sampai sekarang saya dapat, halal...tengah dalam proses. Selepas bantuan daripada RISDA ini, daripada dulu bawah RM3,000, sekarang alhamdulillah mencapai RM3000 ke RM5000 sebulan", kata Usahawan Pekasam, Zakiah Samsuri.