(Foto Bernama)
KUALA LUMPUR, 29 Ogos- Peruntukan sebanyak RM2 bilion akan disediakan sebagai dana awal bagi Fasiliti Peralihan Tenaga Negara.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia bertujuan memastikan kelancaran sumber kewangan bagi projek peralihan tenaga kerana berdepan kekangan kewangan dan potensi pulangan pasaran.
Projek peralihan itu merangkumi pelaburan dalam sektor kenderaan elektrik (EV), hidrogen dan teknologi pemerangkapan serta penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
"Dalam dekad ini sahaja, kerajaan memerlukan antara RM60 bilion dan RM90 bilion untuk diperuntukkan bagi projek penting, antara lain pengembangan pengangkutan awam, pengukuhan infrastruktur grid dan latihan semula modal insan.
"Memandangkan keadaan semasa Malaysia dalam teknologi penyahkarbonan yang belum matang, kemajuan kita akan bergantung kepada sumber tenaga alternatif dan kemantapan kerjasama serantau dan antarabangsa.
"Sehubungan itu, kerajaan akan memperuntukkan RM2 bilion sebagai dana asas untuk Fasiliti Peralihan Tenaga Negara," katanya.
(Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran
Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) hari ini/Foto Bernama)
Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), di sini hari ini.
Kerajaan menyasarkan 70 peratus kapasiti terpasang tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.