fb fb fb fb fb

RM150 juta baki SARA untuk Semua disalur kepada golongan rentan

Foto hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Januari - Inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meliputi semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas pada tahun lalu mencatatkan penggunaan seramai 21.2 juta rakyat, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Jumlah itu bersamaan 96 peratus penerima dengan nilai perbelanjaan hampir RM2.1 bilion.

MOF berkata, baki SARA untuk Semua yang tidak dibelanjakan sebanyak RM150 juta akan disalurkan semula bagi dimanfaatkan oleh golongan rentan.

''Antara inisiatif yang dikenal pasti termasuk sokongan kepada penghuni pusat perlindungan seperti mangsa keganasan rumah tangga, bantuan untuk pelajar OKU dan keperluan khas.

Selain itu, pembelian peranti perubatan untuk golongan rentan serta inisiatif Dapur SISWA untuk membantu pelajar kurang berkemampuan mendapat akses makanan,'' katanya.

Inisiatif SARA untuk Semua yang mula diperkenalkan pada 31 Ogos 2025 merupakan bantuan secara sekali beri berjumlah RM100 diperuntukkan kepada semua warganegara berumur 18 tahun dan ke atas, tanpa mengira pendapatan.

Bantuan tersebut yang dilanjutkan untuk tahun kedua, akan mula disalurkan pada 9 Februari 2026 menjelang persiapan Ramadhan dan sambutan Tahun Baru Cina.

Sementara itu MOF memaklumkan, penyaluran SARA Bulanan 2026 yang turut bermula pada 9 Januari ini melibatkan 5 juta penerima terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan, diikuti pembayaran kepada 3.1 juta individu bujang pada 16 Januari 2026.

Penerima SARA bulanan akan menerima kredit antara RM50 hingga RM200 mengikut kategori kelulusan.

Secara keseluruhan, SARA Bulanan melibatkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM8 bilion untuk tahun 2026, berbanding 5.4 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM5 bilion pada tahun 2025.

SARA Bulanan untuk tahun 2025 telah menunjukkan prestasi perbelanjaan hampir 100 peratus oleh penerima, termasuk di kawasan luar bandar.

Penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 2026 pula akan bermula pada 20 Januari 2026, membabitkan peruntukan RM1.1 bilion untuk 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan.

Penerima akan menerima antara RM100 dan RM500 mengikut kelayakan masing-masing.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN