PUTRAJAYA, 5 Januari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua kementerian untuk mempercepatkan pelaksanaan projek-projek berskala kecil dengan mengenal pasti projek terlibat seawal Februari depan.
Beliau berkata, projek berkenaan merangkumi pembinaan dan penyelenggaraan jalan desa, kuarters serta klinik daif, dengan kelonggaran diberikan bagi lantikan terus kontraktor untuk projek bernilai sehingga RM200,000 dan kaedah sebut harga bagi projek bernilai sehingga RM1 juta.
Jelas beliau, kerajaan memperuntukkan RM2.4 bilion bagi pelaksanaan projek kecil melibatkan kontraktor G1 hingga G4, yang kebanyakannya terdiri daripada kontraktor bumiputera.
Katanya, pelaksanaan projek perlu dimulakan segera di peringkat negeri dan pejabat daerah, selain semua proses berkaitan dipercepat.
“Saya juga tekankan pemulihan sekolah daif yang dibenarkan dan terbuka kepada pra-kelayakan kontraktor."
“Projek lain berjalan mengikut jadual, termasuk projek tebatan banjir, perumahan awam, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta Lebuhraya Pan Borneo yang telah bermula. Namun, saya beri penekanan kepada projek-projek kecil yang perlu dilaksanakan dengan lebih cepat", katanya demikian demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan, buat pertama kali waran am perbelanjaan dikeluarkan seawal Disember 2025, berbanding kebiasaan sebelum ini pada Mac atau April setiap tahun.
Menurut beliau, langkah tersebut membolehkan pelaksanaan projek dilaksanakan lebih awal dan berkesan.
Mengulas isu kerosakan kemudahan awam, Anwar menegaskan semua jabatan perlu bertindak proaktif tanpa menunggu aduan tular di media sosial.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya memastikan pelaksanaan projek kecil dilaksanakan segera.