fb fb fb fb fb

Cukai perkhidmatan sewaan PMKS diturunkan kepada enam peratus

Foto hiasan/BERNAMA

PUTRAJAYA, 5 Januari – Kerajaan bersetuju mengurangkan kadar cukai perkhidmatan ke atas sewaan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada enam peratus daripada lapan peratus sebelum ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata cukai perkhidmatan pada kadar lapan peratus yang diperkenalkan pada Julai tahun lalu melibatkan sewaan premis bukan kediaman seperti pejabat, gudang dan aset komersial, dan pelaksanaannya telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan PMKS.

"Tentang cukai perkhidmatan ke atas sewaan, ini memang jadi masalah kerana dari kosong naik 8. Jadi rakan-rakan Jemaah Menteri banyak mengusulkan supaya boleh teruskan cukai tapi minta dikurangkan.

"Tapi seperti saudara saudara tahu dalam sistem percukaian negara, minima semuanya 6%. Oleh sebab itu, setakat ini saya hanya mampu mengurangkan kepada 6% dengan kehilangan pendapatan hampir setengah bilion ringgit setahun. Jadi minta ada fahaman tentang perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Januari dan Amanat Tahun 2026 di sini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan PMKS yang baharu ditubuhkan akan menikmati penangguhan cukai perkhidmatan ke atas sewaan selama tempoh satu tahun sebagai langkah meringankan beban dan menyokong pertumbuhan perniagaan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD