fb fb fb fb fb

GSF 2.0 sasar penyertaan lebih banyak negara berbanding tahun lalu

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby/ BERNAMA

BANGI, 5 Januari - Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dijangka dilancarkan pertengahan tahun ini dengan menyasarkan penyertaan lebih banyak negara berbanding 45 negara pada GSF 1.0 pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery antara pendekatan utama yang sedang dirangka ialah usaha menggesa lebih banyak negara memberi pengiktirafan rasmi kepada Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, di samping menekan rejim Israel agar segera menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin.

"Antara strategi terpenting adalah menggerakkan kumpulan daripada rakyat, kumpulan masyarakat sivil iaitu Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak kerajaan dan pimpinan dunia untuk kita terjemahkan bahawa aksi ini bukan aksi suka-suka tetapi aksi kita menghina kebinatangan yang dilakukan rejim Israel.

"Kita mahukan polisi negara-negara yang mereka tahu rakyat mereka tidak suka (setuju) apa berlaku di Gaza dapat diterjemahkan dalam bentuk diplomasi ," jelas beliau pada sidang media selepas Perbincangan Meja Bulat GSF di sini hari ini.

Sesi Perbincangan Meja Bulat GSF menyaksikan kehadiran Jawatankuasa Pemandu GSF, Thiago Avila, Saif Abukesyek dan Kleoniki Alexopoulou ke Malaysia bermula semalam.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Sani menjelaskan perincian berkaitan pelaksanaan GSF 2.0 masih belum dapat didedahkan atas pertimbangan keselamatan.

Namun, beliau memaklumkan tempoh awal musim bunga dilihat paling sesuai berdasarkan keadaan cuaca Laut Mediterranean yang lebih tenang.

"Secara spesifik kita tidak dapat dedahkan atas faktor keselamatan tetapi seperti kita maklumkan awal musim bunga itu sangat bersesuaian dengan keadaan cuaca Laut Mediterranean yang tidak bergelora. Kita akan maklumkan apabila masa sesuai nanti," ujar beliau lagi.

Beliau turut menyatakan harapan agar Kerajaan Malaysia sekali lagi tampil memainkan peranan penting sebagai penaung utama misi berkenaan, susulan sokongan kukuh yang diberikan dalam penganjuran GSF 1.0 sebelum ini.

"Harapan kita lebih besar agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi sebahagian Ketua Penaung dalam memainkan peranan penting dengan negara sekitar seperti Pakistan, India, Maldives hingga ke Turkiye untuk penglibatan di peringkat lebih tinggi.

"Peranan itu bukan sahaja peringkat delegasi tetapi kita bercakap bagaimana polisi dunia boleh dibuat perubahan," kata beliau.

Turut hadir pada Sesi Meja Bulat GSF ialah Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri dan Pengasas Cinta Salam Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD