
CYBERJAYA, 26 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak leka dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya terus memperkukuh usaha dan keupayaan diri demi kepentingan bangsa dan negara.
- Perdana Menteri mengingatkan agar tidak leka dengan pencapaian sedia ada dan terus memperkukuh usaha demi kepentingan negara.
- Kerajaan berjaya mengutip semula RM15.5 bilion dana rakyat hasil kerjasama bersepadu agensi penguat kuasa.
- Anwar akui sistem masih ada kelemahan yang membuka ruang ketirisan dan kehilangan dana.
- JKDM diseru terus bekerja gigih dan dipercayai mampu menyelamatkan lebih banyak dana untuk negara.
Beliau berkata, hasil kerjasama bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa, kerajaan berjaya mengutip semula dana rakyat berjumlah RM15.5 bilion yang sebelum ini hilang akibat ketirisan, rompakan dan penipuan.
“Saya harus ingatkan, kejayaan ini berlaku kerana semangat dan kerjasama bersama semua agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
“Tekad serta kesungguhan inilah yang membolehkan kita mencatatkan prestasi yang baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-44 yang berlangsung di sini.
Bagaimanapun, Perdana Menteri mengakui sistem sedia ada masih mempunyai kelemahan yang membuka ruang kepada berlakunya ketirisan.
“Dalam tempoh lebih dua tahun, kita berjaya mengumpulkan RM15.5 bilion. Itu dana rakyat, hak rakyat. Sistem kita masih belum cukup kemas sehingga memberi ruang kepada pihak tertentu menyebabkan kehilangan dana,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa jumlah sebenar dana yang mampu diselamatkan berpotensi melebihi RM15.5 bilion, sekali gus menyeru warga JKDM agar terus menyahut cabaran dan bekerja dengan lebih gigih.
“Kita sebagai sebuah keluarga termasuk warga JKDM, perlu menyahut cabaran ini bahawa kita mampu mengutip semula dana yang hilang, yang tiris dan yang dicuri, demi menyelamatkan bangsa dan negara,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan setiap individu berupaya memperbaiki prestasi serta meningkatkan keupayaan diri ke tahap yang lebih baik.
Beliau juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga JKDM yang bekerja sebagai satu pasukan dan menunjukkan prestasi membanggakan dalam usaha menyelamatkan negara.